Followers

Friday, July 2, 2010

Rumah berhantu...






BUKIT TUNKU, KUALA LUMPUR: BERBEKALKAN sifat ingin tahu yang mendalam terhadap kewujudan makhluk halus, lapan sekawan yang berumur dari 19 hingga 30 tahun telah memberanikan diri untuk menyelongkar sebuah banglo usang yang dikatakan dihuni oleh makhluk ghaib.
 Banglo tersebut dikatakan mula 'keras' setelah kematian seorang datin yang dibunuh oleh beberapa perompak yang datang menyamun di rumahnya lama dahulu.
 Segalanya bermula ketika Dato terpaksa ke luar negara atas urusan pekerjaan sementara datin ditinggalkan keseorangan di rumah kerana anak mereka juga sedang menuntut dan tinggal berasingan.
 Dari sumber yang dipercayai, sekawan perompak berkenaan menyangkakan banglo tersebut kosong kerana mendapat maklumat bahawa mereka semua telah ke luar negara bersama. Namun malang tidak berbau apabila datin didapati ada di rumah berseorangan ketika mereka sedang merompak.
 Akibat daripada identiti mereka yang sudah terdedah menyebabkan mereka mengambil keputusan membunuh datin dengan menikam menggunakan pisau yang dimiliki mereka di tingkat dua banglo tersebut serta mengheret mayatnya turun ke bawah lalu dibuang ke dalam kolam renang.
 Sejak dari hari itu, banglo tersebut dibiarkan begitu sahaja tanpa didiami kerana dikatakan ada kelibat aneh yang menyeramkan menganggu sesiapa sahaja yang berada di banglo berkenaan. 
 Dengan maklumat tersebutlah membuatkan lapan sekawan dari sekitar Lembah Klang ini bertekad untuk merasai apakah yang dikatakan 'ketakutan' banglo tersebut yang sering dihebohkan penduduk setempat.
 Muhammad Fikry Fazil, 20, atau lebih mesra dengan panggilan Fikri merupakan salah seorang yang terlibat pada malam tersebut. 
 "Kami berlapan tapi ada 'kepala' yang 'handle', sekurang-kurangnya tidaklah kami risau sangat kalau berlaku apa-apa. Memang dah lama kami 'mark' banglo tersebut akhirnya malam itu kami berjaya juga merasai apa yang dikatakan pernah dialami oleh setiap yang pernah menghuni di situ.
 "Jam sepuluh malam kami tiba di sana. Setelah buat sedikit doa pembuka jalan kami mula meneruskan dengan memasuki kawasan banglo itu. Banglo tersebut memang besar siap dengan kolam renang dan sebagainya tetapi airnya sudah kotor kerana tidak berjaga rapi. Anehnya kolam tersebut tidak kering, mungkin air hujan pada pengamatan kami pada mulanya.
 "Sebenarnya sejak kami masuk melalui pintu depan tadi lagi perasaan ni sudah seram sejuk. Tetapi sebab tidak mahu jatuhkan air muka depan kawan terpaksalah buat macam biasa saja. Ketika itu sudah tiada yang berani bercakap banyak. Masing-masing lebih bersikap mendiamkan diri dan bersedia untuk mengalami sebarang kemungkinan.
 "Banyak bilik di tingkat dua banglo tersebut sudah dipalang mungkin kerana itu tempat datin tersebut dibunuh pada fikiran kami. Apa yang memelikkan kami semua barang, perabot dan sebagainya masih tersusun dan tidak di alih. Dari apa yang saya tahu, barang-barang tersebut memang tidak boleh diubah kedudukannya sejak datin itu meninggal. Dengar cerita ia tidak di ubah kerana datin akan marah. Entahlah, tak pasti pula saya betul atau tidak dakwaan orang itu.
 "Kerana banyak pintu sudah dipalang di tingkat atas menyebabkan kami membuat keputusan untuk turun sahaja. Pada ketika kami sudah di tingkat bawah inilah tiba-tiba kami dapat dengar bunyi ada orang sedang mandi di tingkat atas.
 "Pada ketika ini masing-masing masih buat bersahaja. Kami meneruskan perjalanan untuk keluar dari banglo tersebut. Ketika sedang berjalan itu kawan saya mengatakan dia di cuit dari belakang sedangkan dia yang paling belakang sekali pada waktu itu. 
 "Ketika kami sedang melalui kolam renang pula kami dikejutkan lagi dengan keadaan air dalam kolam tersebut yang berkocok tanpa sebab seperti ada seseorang terjun ke dalam kolam tersebut. Pada masa itu juga rakan saya memberitahu dia ternampak ada sesuatu memerhatikan kami dari tingkat atas. 
 "Kami diarah supaya meneruskan perjalanan oleh 'kepala' tanpa mempedulikan semua itu. Akhirnya kami tiba ke tempat 'parking' kereta. Masing-masing kelihatan tak sabar-sabar nak masuk kereta agar cepat meninggalkan banglo berkenaan," kata Fikri sambil menunjukkan lengannya yang sudah meremang sebaik menceritakan kembali peristiwa ini kepada wartawan Media Terkini (MT).
 "Pada ketika ini kami masih ingin di'tunjuk'. Lampu tingkat atas banglo tersebut tiba-tiba terbuka. Masa itu saya memang sudah tidak boleh tahan sehingga gugup dibuatnya. Tidak tidur beberapa malam juga dibuatnya. Apa yang pasti rakan-rakan saya juga dalam ketakutan pada malam tersebut dan sejak itu kami sudah tidak berani melakukan kerja bodoh ini lagi," sambung Fikri lagi mengakhiri perbualan.

2 comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails