Followers

Thursday, July 15, 2010

Kenapa Saya Islam?

Mengapa saya mencintai Islam?

Firman Allah S.W.T :

Allah mengetahui apa-apa yang di hadapan mereka dan dibelakang mereka, dan mereka tidak mengetahui apa-apa dari ilmu Allah melainkan apa yang dikehendaki-Nya.

Al-Baqarah : 255


Saya dipertemukan dengan seorang yang mempunyai masalah kemurungan sehingga dia lebih cenderung untuk keluar dari Islam.Dalam sesi berbual, dia bertanyakan satu soalan yang tidak terfikir dalam ‘kepala otak’ saya. Soalan ini juga membuat saya terfikir, apa yang boleh membuatkan orang bukan Islam mahu masuk Islam? Adakah kerana jubah? Tasbih? Kejayaan politik?

Soalannya, “kenapa awak mencintai Islam?” Saya terpaku
beberapa ketika…. (diringkaskan) dan kemudian menjawab seperti di bawah ini dengan sedikit pengubahsuaian supaya lebih dramatik. Jika anda mungkin ditanya soalan yang sama atau anda mungkin bertanya pada diri sendiri, mungkin sedikit sebanyak dapat membantu.





1. Islam Membawa Berita Gembira Pada Saya

Islam adalah cara hidup yang benar-benar diperlukan oleh setiap manusia yang inginkan kehidupan yang bahagia seterusnya ke arah masyarakat yang harmoni.

Adakah wujud satu kitab yang menghimpunkan ilmu, sejarah peradaban, akhlak dan adab, perdagangan, kejadian bangsa-bangsa terdahulu, makanan dan minuman, undang-undang, hukuman dan pelbagai lagi berkaitan dengan kehidupan untuk kita jadikan pelajaran? Belum lagi dikira kehidupan sebelum kehidupan dan kehidupan selepas mati.



Firman Allah S.W.T :

Sebuah Kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya satu persatu; iaitu Al-Quran yang diturunkan dalam bahasa Arab bagi faedah orang-orang yang mengambil tahu dan memahami kandungannya. Ia membawa berita yang menggembirakan (bagi orang beriman) dan membawa amaran (bagi orang yang ingkar).

Al-Fussiliat : 3-4

Sejarah membuktikan sebelum datangnya Islam, manusia hidup penuh huru-hara. Undang-undang buatan mereka hanya agak-agak sahaja, sehingga anak-anak perempuan dibunuh, wanita datang haid hendaklah diasingkan, orang yang beribadah tidak boleh berkahwin dan sebagainya.



Firman Allah S.W.T :

Sesungguhnya Kami menjadikan Al Qur'an dalam bahasa Arab supaya kamu memahami (nya). Dan sesungguhnya Al Qur'an itu dalam induk Al Kitab (Lohmahfuz) di sisi Kami, adalah benar-benar tinggi (nilainya) dan amat banyak mengandung hikmah.

Az-Zukhruf : 3-4



Firman Allah S.W.T :

Dan sesungguhnya telah Kami mudahkan Al Qur'an untuk pelajaran, maka adakah orang yang mengambil pelajaran?

Al-Qamar : 17



Datangnya Islam membawa lembaran baru buat manusia, bukan sahaja membawa perubahan dalam ibadah, tetapi juga sistem pemerintahan, ekonomi, pendidikan dan sosial kemasyarakatan sehingga membentuk sebuah tamadun.Tamadun Islam. Itulah yang dimaksudkan dengan berita gembira iaitu; memisahkan antara haq (benar) dengan yang bathil.



2. Islam Membantu Saya Membezakan Kebenaran (Haq) Dan Kebatilan

Kekuasaan Allah Yang Maha Pemurah dapat dilihat di mana-mana. Seluas mata memandang ke langit, lautan dan bumi, maka setiap satunya terdapat tanda-tanda kekuasaan-Nya.



Di langit,

Firman Allah S.W.T :

Allah-lah Yang meninggikan langit tanpa tiang (sebagaimana) yang kamu lihat, kemudian Dia bersemayam di atas Arasy, dan menundukkan matahari dan bulan. Masing-masing beredar hingga waktu yang ditentukan. Allah mengatur urusan (makhluk-Nya), menjelaskan tanda-tanda (kebesaran-Nya), supaya kamu meyakini pertemuan (mu) dengan Tuhanmu.

Ar-Ra’d : 2



Adakah kekuatan lain yang meninggikan langit tanpa tiang? Adakah batu (musyrik) yang boleh ditinggikan menopang langit? Adakah wang ringgit (taghut) mampu membuat tiang setinggi langit?



Di lautan,

Firman Allah S.W.T :

Dan Dia-lah, Allah yang menundukkan lautan (untukmu) agar kamu dapat memakan daripadanya daging yang segar (ikan), dan kamu mengeluarkan dari lautan itu perhiasan yang kamu pakai; dan kamu melihat bahtera berlayar padanya, dan supaya kamu mencari (keuntungan) dari karunia-Nya, dan supaya kamu bersyukur.

An-Nahl : 14

Kita juga disuruh mencari rezeki yang halal. Salah satu kurniaan Allah S.W.T adalah dari dalam lautan. Baik dari segi makanan mahupun perhiasan, semua boleh diniagakan untuk mendapat keuntungan daripada merompak, memeras dan kekejian yang lain.

Di bumi,

Firman Allah S.W.T : Dan Dia menancapkan gunung-gunung di bumi supaya bumi itu tidak goncang bersama kamu, (dan Dia menciptakan) sungai-sungai dan jalan-jalan agar kamu mendapat petunjuk.

An-Nahl : 15
Siapakah yang memasakkan bumi ini dengan gunung agar daratan dan lautan tidak turut berpusing dan berkocak ketika bumi berputar pada paksinya? Adakah ini terjadi secara kebetulan (Ateis)?

Firman Allah S.W.T :

Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam); sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat.

Al-Baqarah : 256

Kebenaran dan kebatilan telah jelas, segala dalil dan buktinya dapat diperhatikan dimana-mana, di sekeliling dan juga pada diri kita sendiri. Kemudian dia bertanya, “Kenapa mesti Al-Quran? Kenapa kita (orang Islam), sikit-sikit bawa Al-Quran sebagai dalil. Kalau Taurat dan Injil dari Allah, tentu kita boleh guna juga?” Bagi saya jawapannya merupakan satu soalan, iaitu;

3. Kenapa Tiada Kitab Lain Selepas Al-Quran?

Semua manusia mengakui (kecuali Ateis dan segelintir penyembah Tagut) akan kebenaran kitab Taurat, Injil dan Al-Quran sehingga mustahil seluruh penduduk bumi berpakat bersama akan kebenarannya.

Ini kebenaran yang tidak dapat disanggah. Tapi pernahkah kita terfikir kenapa ada kitab lain selepas Taurat? Kenapa ada kitab lain selepas Injil? Tetapi, kenapa tiada lagi sesudah Al-Quran?

Firman Allah S.W.T :

Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-redhai Islam itu jadi agama bagimu.

Al-Maidah : 3

Firman Allah S.W.T di atas adalah jawapan mengapa tiada lagi kitab selepas Al-Quran. Turunnya Al-Quran menandakan kesempurnaan kehidupan yang diperlukan oleh manusia, melalui secara bertahap (suhuf-suhuf, Taurat dan Injil) mengenai kehendak Allah S.W.T. Ini juga menjadi dalil tiada lagi nabi selepas Nabi Muhammad S.A.W. Tapi, tak cukupkah kitab Taurat dan Injil itu? Kenapa mesti diturunkan Al-Quran?

Firman Allah S.W.T :

Hai Ahli Kitab, sesungguhnya telah datang kepadamu Rasul Kami (Nabi Muhammad s.a.w) menjelaskan kepadamu banyak dari isi Al Kitab yang kamu sembunyikan, dan banyak (pula yang) dibiarkannya. Sesungguhnya telah datang kepadamu cahaya dari Allah, dan kitab yang menerangkan.

Al-Maidah : 15

Firman Allah S.W.T :

Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan Al Qur'an, dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya.

Al-Hijr : 9

Fahami sendiri dua firman Allah S.W.T di atas.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails